Monday, March 22, 2010

Manual

Persoalan saya, siapakah manusia? Siapakah yang menciptakan manusia? Siapakah yang memberikan kemudahan kepada kita? Apakah hakikat sebenarnya manusia itu?
Mari kita melihatnya satu persatu.

Apabila membincangkan berkenaan dengan manusia, siapa, apa dan sebagainya, ianya perlu merujuk kepada satu petunjuk yang Agung. Ia tidak boleh dirujuk dan dibincangkan dengan menggunakan akal semata-mata. Jika kita membeli sebuah televisyen baru berjenama SONY, sudah pasti yang ada beserta dengan televisyen tersebut adalah buku panduan atau ‘manual’. Apakah sebab utama ‘manual’ itu disertakan sekali dengan televisyen baru itu? Jawapanya sudah pasti ianya bertujuan untuk dirujuk semula apabila berlaku sebarang masalah. ‘Manual’ tersebut membantu memahamkan kita mengenai setiap inci dan komponen yang terdapat di dalam televisyen tersebut dan dengan bantuan ‘manual itu tadi’ maka sudah pasti kita juga jelas dengan apa yang terkandung di dalam sistem televisyen yang akhirnya menjadikan ianya sebuah televisyen yang sempurna.

Perkara yang lebih penting lagi ialah, ‘manual’ itu tidak sama dengan manual yang dikeluarkan oleh kilang SONY dengan JVC. Bagaimanakah keadaannya apabila kita ingin memperbaiki televisyen yang rosak dengan menggunakan manual JVC sedangkan televisyen itu dikeluarkan oleh kilang SONY? Boleh anda bayangkan apa yang terjadi?

Senario ini pasti sama dengan ciptaan manusia itu sendiri. Adakah kita mampu membincangkan hal mengenai manusia dengan menggunakan ‘manual’ kita sendiri sedangkan ‘manual’ dari Yang Agung adalah ‘manual’ yang sebenarnya? Memahami manusia dengan menggunakan akal pasti akan membawa kepada kerosakan yang amat dahsyat. Malah akan banyaklah teori-teori berkenaan dengan manusia itu akan keluar dengan pelbagai versi. Topik ini ada dibincangkan di bab yang lalu. Anda pasti ingat dengan teori behaviourisme? Maslow, Darwin, Skinner dan sebagainya? Inilah contoh-contoh manual yang dikeluarkan dengan menggunakan akal semata-mata.