Monday, March 22, 2010

Ritual Kepada Spiritual

Perbahasan berkenaan dengan nama-nama Allah (asma ulhusna) kali ini akan dibawakan kepada anda dengan satu sudut pandangan kefahaman atau paradigma mengenai budaya ritual. Mengapa hal ini diketengahkan? Ini adalah kerana, budaya ritual di kalangan masyarakat Malaysia merupakan budaya yang mana ianya sangat dominon dan sering di anggap sebagai salah satu perbuatan yang bersifat berulang-ulang dengan disertai unsur keterpaksaan. Natijahnya, kefahaman atau persepsi ini telah menyebabkan satu penerimaan dan keyakinan yang bersifat kabur serta tidak jelas tertanam di benak pemikiran masyarakat kita.


Apakah yang perkara yang dikatakan kabur? Jika kita lihat yang berlaku di kalangan masyarakat kita pada hari ini, adakah mereka benar-benar mengenali Pencipta mereka? Soalan kedua, dari manakah pula mereka memperolehi ilmu mengenali Pencipta mereka? Dan bagaiamana pula untuk menterjemahkan prinsip atau panduan yang telah diturunkan kepada sekalian manusia di dalam kehiduan seharian?

Jawapan yang pasti dijawab oleh mereka jika soalan-soalan itu ditanyakan kepada masyarakat kita pada hari ini dan rata-rata mereka akan menjawab, tahu, tapi tak kenal sangat.

Kedua pula, di sekolah dan jawapan yang ketiga pula entah atau ikut apa sahajalah yang terkandung di dalam quran, itu kot?.


Saya hendak membawakan satu kisah yang berlaku kepada saya di Melaka pada suatu ketika dahulu. Pada suatu petang, saya ditugaskan untuk menjaga kaunter Cyber CafĂ© (CC) di sebuah premis perniagaan sahabat saya. Seperti biasa, pengguna yang selesai menggunakan kemudahan internet akan membayar di kaunter. Kebetulan pada hari itu, saya berjumpa dengan seorang lelaki berbangsa India, berusia di dalam lingkungan 30 an. Semasa dia hendak membayar, saya pun menyapa beliau dan akhirnya kami ‘berborak’ panjang. Dapatan saya melalui perbincangan dengan lelaki India pada hari itu adalah, beliau merupakan seorang yang ‘kuat’ berpegang kepada ajaran Kristien, dan yang lebih menarik lagi, beliau ada mengajukan beberapa pandangan yang menarik. Antaranya ialah; Do you know Syamil? What is it? jawab saya dengan perasaan ingin tahu. Many peoples in this world practicing their own religion, but most of them did not know his God. Why do you said like that? Saya mengajukan soalan lagi. Well, we can see the world today. God has send us a guidance, but people rules this world by using their own guidance. So it is a proofing that, man did not know his Creator!


Bila difikirkan semula apa yang dibincangkan pada hari tersebut, saya beranggapan bahawa memang ada kebenarannya. Kebanyakkan masyarakat kita mendakwa bahawa kita adalah masyarakat yang beragama, kita berpegang kepada panduan Quran dan hadith, kita juga turut mempertahankan pegangan nenek moyang kita dan kepada apa yang telah disampaikan kepada kita hari ini, namun apa yang sering berlaku ialah kerosakan, penindasan, kehancuran serta kezaliman. Ini juga turut berlaku di kalangan mereka yang benar-benar dilihat seperti berpegang atau ‘taat’ kepada ajaran agama. Mengapa semua ini berlaku? Bolehkah kita bersetuju dengan pandangan lelaki tadi? Mari kita lihat hal ini.


Pertama, kita lihat soalan yang telah diajukan tadi. Adakah anda benar-benar mengenali atau merasai kewujudan Pencipta anda? Dan jawapan yang biasa akan kita dengar ialah tahu tapi tak kenal sangat. Di manakah silapnya pendidikan di tahap anak-anak berkenaan dengan pengenalan kepada Allah? Adakah kita gagal memperkenalkan Allah kepada generasi pewaris kita? Atau teknik yang diajarkan itu tidak menepati akan maksudnya? Atau ibubapa, guru dan mereka yang bertanggungjawab mendidik anak-anak telah tersilap langkah? Ataupun mereka yang bertanggungjawab itu jua tidak mampu menterjemahkan maksud sebenar siapakah itu Allah? Ada kemungkinan hal ini terjadi.


Krisis ilmu di dalam mengenali Allah merupakan satu krisis yang besar. Ini bertepatan dengan hal yang mana, ramai di antara manusia mampu mengamalkan ajaran yang telah diturunkan tetapi tidak mampu untuk menjawab kepada siapakah yang sebenarnya mereka tujui. Inilah amalan ritual yang berlaku di kalangan manusia yang beragama. Mereka mampu untuk melaksanakan tuntutan secara berulang-ulang, namun mereka gagal menepati nilai sebenar spiritual yang bersifat ehsan.


Sebagai contoh, ramai di antara kita yang mengerjakan haji, namun ramai juga di antara mereka yang kembali kepada perlakuan atau tabiat asal mereka. Malah, mereka juga turut melaksanakan haji serta umrah dengan berkali-kali, namun mereka tetap tidak berjaya menerobosi jiwa ehsan yang sebenar. Ada juga di antara manusia yang tidak kenal jemu mengeluarkan harta untuk memenuhi tuntutan zakat, namun, sikap riak dan sombong tidak pernah luntur di dalam jiwa mereka. Mereka hanya menjalani aktiviti ritual mereka dan ada juga mereka yang menjalani ibadah puasa pada setiap tahun, namun mereka tidak pernah merasai dan menjiwai nilai spiritual di dalam ibadah puasa itu sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa ada manusia yang berpuasa namun mereka hanya mendapat lapar dan dahaga. Bukankah itu merupakan satu aktiviti ritual, yang mana ia harus dilaksanakan di dalam konteks ‘perlu dilaksanakan’? dan terdapat juga suatu amalan yang sangat dekat dengan kita iaitu ibadah solat. Sejauh manakah solat lima waktu itu, kita memeliharanya dengan kata erti yang sebenar, adakah kita benar-benar menghargai nilai spiritual di dalam solat kita atau hanya merasai ianya adalah suatu rutin yang perlu dilaksanakan pada setiap masa? Inilah perkara yang amat malang bagi umat Islam yang mana mereka dilihat seperti sedang bersolat namun mereka lalai dan tidak khusyuk mengerjakannya!


Kembali kepada soalan yang kedua, darimanakah ilmu atau pengetahuan mengenai Pencipta ini kamu perolehi. Jawapan untuk soalan ini sudah pasti tidak lari dari bibir-bibir mereka iaitu pasti dari sekolah. Ya, jawapan ini perlu dilihat semula. Adakah mereka yang bertanggungjawab di dalam mendidik anak-anak menyerahkan sepenuhnya anak-anak mereka agar mereka mengenali Allah? Atau menghantar mereka ke sekolah agar mereka menjadi orang yang bijak, memperolehi markah yang tinggi dan terus menerus di dalam pengajian di IPT dalam dan luar Negara dan hal ini berterusan sehingga mereka memperolehi pekerjaan yang mampu menyara hidup mereka kelak dengan sumber kekayaan? Atau masih adakah ibubapa atau penjaga yang seharusnya memastikan hal pendidikan mengenal Allah dikalangan anak-anak dikaburi dengan niat yang sebegitu? Hal ini sebenarnya semakin kabur dan makin jauhlah unutk generasi akan datang mengenal Tuhan mereka yang sebenar. Apa yang terjadi ialah mereka pasti akan bertuhankan kepada wang, bukan kepada Allah. Mereka juga turut menjadikan kerjaya mereka sebagai illah, dan bukannya Allah. Hal ini terus menerus akan berlaku dan ianya pasti akan melahirkan manusia yang kabur dan terawang-awang mencari makna kehidupan yang sebenar.